Majlis Perbandaran Subang Jaya ( MPSJ ) ditubuhkan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 ( Akta 171 ) di bawah Seksyen 4. Sebelumdiistiharkan sebagai MPSJ, ia dikenali sebagai Majlis Daerah Petaling. Pada tahun 1994, Kerajaan Negeri Selangor telah memutuskan untuk menaiktaraf Majlis Daerah Petaling kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Tujuan kenaikan taraf ini ialah untuk menyusun semula organisasi pentadbiran bagi menghadapi tekanan pembangunan fizikal, sosial, ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar. Melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor No. 62, Majlis Perbandaran Subang Jaya telah diwartakan pada 02 Januari, 1997 mengikut pelan warta 1192 dengan keluasaan tapak 16,180 hektar dan terbahagi kepada tujuh (7 ) Blok Perancangan mengikut Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Subang Jaya 2020 (RTMPSJ 2020 ) iaitu:

Blok Perancangan 1 ( Subang Jaya – USJ );
Blok Perancangan 2 ( Subang Hi – Tech );
Blok Perancangan 3 ( Putra Height );
Blok Perancangan 4 ( Kinrara );
Blok Perancangan 5 ( Puchong );
Blok Perancangan 6 ( Bandar Putra Permai ); dan
Blok Perancangan 7 ( Seri Kembangan )

Kedudukan Geografi Majlis Perbandaran Subang Jaya


Majlis Perbandaran Subang Jaya ( MPSJ ) merupakan salah satu daripada Pihak Berkuasa Tempatan yang terletak di dalam Wilayah Lembah Klang. Keluasaannya merangkumi 161.8 km persegi. Ia terdiri daripada dua (2) mukim iaitu Mukim Damansara dan Mukim Petaling.

Kedudukan MPSJ adalah strategi kerana ia bersempadan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL ), Majlis Bandaraya Shah Alam ( MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya ( MBPJ ) dan Majlis Perbandaran Klang(MPK ).


Maklumat Gunatanah Semasa Kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya


Gunatanah semasa mengikut Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Subang Jaya 2020 ( RTMPSJ 2020 ) yang telah diwartakan pada 27 Mei, 2010 dengan nombor warta 1566, menyatakan gunatanah terbesar adalah untuk gunatanah kediaman meliputi kawasan seluas 2,996.99 hektar iaitu 18.52% daripada keluasaan keseluruhan MPSJ. Ini diikuti oleh gunatanah perindustrian seluas 989.13 hektar ( 6.11%), perniagaan dan perkhidmatan seluas 495.05 hektar ( 3.06 %) serta institusi dan kemudahan masyarakat seluas 1,847.85 hektar ( 11.42%).

Sumbangan : Jabatan Perancang Bandar MPSJ

MS