Pelan Strategik Subang Jaya 2020 - 2025

Semenjak Perbandaran Subang Jaya dilahirkan pada tahun 1997, ia tidak pernah ‘berehat’ daripada tumbesaran pesat pembangunan. Berbekalkan ‘Pelan Strategik MPSJ 2012-2030’, dokumen tersebut menjadi pandu arah bagi warga kerja Subang Jaya untuk memastikan impian dan angan-angan warga kota Subang Jaya dapat dipenuhi.

Walau pun pemimpin datang silih berganti, agenda pembangunan Subang Jaya tetap tiada noktah malah semakin diperkukuhkan. Hasilnya kini pada usia menginjak 23 tahun, Subang Jaya secara rasminya bergelar bandaraya pada tahun 2020. Komitmen transformatif pembangunan bandar mampan terus disepadukan; elemen sosial, ekonomi dan alam sekitar kekal sebagai dimensi utama. Ironinya, kota ini tetap terus berpegang kepada kalimah ‘vibrant’ sebagai penjenamaan bandaraya dengan maksud - Bandaraya Subang Jaya sebagai bandaraya yang hidup (lively), bersemangat (high spirit), bertenaga (energetic), mesra (friendly) dan bandar hijau (green city).

Bagi memastikan hala tuju Bandaraya Subang Jaya kekal relevan, kepekaan terhadap kehendak warga kota dan polisi semasa telah dijadikan pertimbangan utama dalam memacu agenda pembangunan. Untuk itu, ‘wish list’ warga kota menjadi keutamaan dengan penyesuaian penjajaran semula berpandukan Agenda Perbandaran Baharu (New Urban Agenda) dan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) bagi mengesahkan lagi komitmen global ke arah menjadikan Bandaraya Subang Jaya sebagai penempatan manusia yang inklusif, selamat, sihat, berdaya tahan, makmur dan mampan.

Hari ini, wawasan bersama ini telah diperkemaskan dengan melakukan inovasi terhadap pelan strategik sedia ada. Pelan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2020-2025 diperkenalkan dan dijadikan dokumen panduan rasmi bagi meneruskan kesinambungan kecemerlangan kota bertuah ini. Saya percaya, Pelan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2020-2025 boleh menjadi alat yang berkesan untuk mencapai matlamat pembangunan mampan dan sumber kepada penyelesaian isu semasa bandaraya ini dan ini boleh dicapai dengan mengarahkan semua matlamat pelaksanaan kerja adalah untuk meningkatkan taraf kualiti hidup warga Bandaraya Subang Jaya.

Harapan saya, agar semua warga kerja dan warga kota Subang Jaya meneruskan gandingan kerjasama untuk
bersama-sama melakar sejarah demi membina kota impian kita bersama.

Sekian.

“Subang Jaya Gemilang Bersama”
“Bandaraya Bestari, Kota Niaga, Kediaman Idaman”


TPr. Noraini binti Roslan S.I.S., P.P.T.
Datuk Bandar

Majlis Bandaraya Subang Jaya


Muat Turun Pelan Strategik Subang Jaya 2020 - 2025 

Sila muat turun dokumen Pelan Strategik Subang Jaya 2020 - 2025, klik pada pautan di atas . Anda disarankan untuk menyimpan secara digital di dalam komputer anda dan tidak mencetak  bagi menjimatkan penggunaan kertas. Terima Kasih
MS