SOALAN LAZIM (FAQS) PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) PUSAT SETEMPAT (OSC) PBT BAGI MENJALANKAN OPERASI SEKTOR PEMBINAAN DI DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) DAN PASCA PKP

1.    Adakah SOP ini perlu dilaksanakan oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) dan Jabatan/ Agensi Teknikal yang terlibat dalam sektor pembinaan sepanjang tempoh PKP dan pasca PKP?

Ya, SOP ini hendaklah dilaksanakan oleh semua PBT dan Jabatan/ Agensi Teknikal sebagai satu norma baharu dalam sektor pembinaan sepanjang tempoh PKP dan pasca PKP. Walaubagaimanapun pelaksanaannya hendaklah selaras dengan SOP KKM dan perkara 8 dalam Nota Utama SOP ini.


2.    Selain daripada 13 senarai Sektor Pembinaan Dan Perkhidmatan Berkaitan Pembinaan yang telah diluluskan oleh MITI, adakah SOP ini juga merangkumi projek baharu yang dirancang tetapi belum mengemukakan permohonan kepada PBT?

Ya, SOP ini disediakan bagi memberi panduan kepada semua projek baharu yang belum mengemukakan permohonan kepada PBT bagi pertimbangan kelulusan.


3.    Adakah pemohon perlu mematuhi semua senarai semak dokumen yang ditetapkan oleh PBT bagi memastikan permohonan diterima secara rasmi oleh OSC Pihak Berkuasa Tempatan?

Ya, pemohon hendaklah menyediakan semua senarai semak dokumen yang ditetapkan dalam Manual OSC 3.0 Plus sebelum mengemukakan permohonan kepada OSC PBT.
 
4.    Sekiranya di dalam salah satu senarai semak dokumen tersebut melibatkan keperluan menyediakan atau mendapatkan pengesahan maklumat/ kelulusan laporan dari Jabatan/ Agensi Teknikal lain seperti kelulusan laporan EIA, TIA, SIA dan lain-lain, adakah ia boleh dikecualikan?

Tidak. (Pemohon hendaklah melengkapkan semua keperluan senarai semak dokumen yang ditetapkan dengan berurusan dengan mana-mana Jabatan/ Agensi Teknikal yang berkaitan).


5.    Bagi PBT yang tidak mempunyai fasiliti pembayaran secara online, adakah bayaran melalui medium baucar seperti cheque, bank deraf, wang pos dan lain- lain boleh digunakan dan transaksi dilaksanakan di kaunter OSC?

Ya, berdasarkan kepada ketetapan PKPB yang membenarkan pejabat kerajaan beroperasi telah membolehkan kaunter-kaunter pejabat kerajaan dibuka. Walau bagaimanapun ia adalah tertakluk kepada pematuhan SOP yang digariskan oleh KKM. Namun bagi PBT yang mempunyai kemudahan bayaran secara online tidak digalakkan untuk menerima bayaran di kaunter. PBT hendaklah mengeluarkan Bil dan maklumkan kepada pemohon bagi menjelaskan pembayaran dan apabila pembayaran telah dibuat PBT hendaklah mengeluarkan resit rasmi untuk diserahkan kepada pemohon secara atas talian keseluruhannya. PBT adalah  digalakkan untuk menyediakan kemudahan online.


6.    Adakah pemohon perlu mengemukakan salinan hardcopy semua dokumen- dokumen permohonan kepada PBT selepas OSC membuat semakan dan mengesahkan dokumen secara atas talian sebelum permohonan diterima secara rasmi dan diedar kepada jabatan/ agensi yang berkaitan bagi mendapatkan ulasan?

Selaras dengan peruntukkan undang-undang yang berkuatkuasa pengemukaan salinan hardcopy dokumen-dokumen permohonan kepada PBT adalah satu keperluan mengikut subseksyen 21(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 172 dan UUK 8 Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1986. Walau bagaimanapun PBT boleh mengecualikan pengemukaan salinan hardcopy tertakluk kepada kompleksiti dan intensiti sesuatu permohonan untuk disemak sebelum mengeluarkan ulasan.

PBT hendaklah menetapkan kaedah yang menepati SOP KKM bagi pengendalian transaksi penerimaan dokumen sekiranya masih memerlukan salinan hardcopy tersebut seperti mekanisme hantaran kurier/ poslaju dan penyediaan ruang khas/ konsep ‘pigeon hole’ di kaunter pejabat PBT. Manakala bagi Jabatan/ Agensi Teknikal Luaran penerimaan dokumen hanya dalam bentuk sotfcopy yang diedarkan oleh OSC secara atas talian.
 

7.    Adakah PBT dan Jabatan/ Agensi Teknikal perlu membuat lawatan tapak bagi mengenalpasti butiran terperinci tapak pemajuan sebelum mengeluarkan ulasan teknikal terhadap permohonan cadangan pemajuan?

Lawatan tapak untuk mengenalpasti butiran terperinci tapak pemajuan bagi tujuan mengeluarkan ulasan teknikal yang tepat dan selaras dengan merit cadangan pemajuan adalah dibolehkan tertakluk kepada pematuhan SOP yang digariskan oleh KKM. PBT juga boleh menetapkan kaedah yang sesuai untuk diselaraskan dengan keperluan SOP CIDB dan penetapan JKKN.


8.    Adakah pemohon termasuk SP/ PSP boleh membuat siasatan tapak untuk mendapatkan maklumat dan data terperinci secara primer bagi menyediakan laporan, pelan dan dokumen yang lengkap sebelum mengemukakan permohonan kepada PBT?

Ya, walau bagaimanapun ia hendaklah tertakluk kepada surat kebenaran MITI terhadap syarikat bagi menjalankan operasi dalam sektor pembinaan.


9.    Sekiranya syarikat perunding profesional (SP/ PSP) tidak mendapat/ belum mendapat kebenaran dari pihak MITI, adakah mereka masih boleh mengemukakan permohonan secara online kepada PBT termasuk berurusan dengan mana-mana Jabatan/ Agensi Teknikal Luaran secara atas talian?

Ya, prosedur permohonan secara online termasuk sebarang urusan dengan PBT atau Jabatan/ Agensi Teknikal Luaran tanpa transaksi fizikal selaras dengan SOP ini serta tidak melanggar peraturan PKP atau PKPB yang digariskan adalah dibenarkan sebagai satu norma baharu untuk memulakan semula sektor ekonomi yang terjejas disebabkan pelaksanaan PKP.


10.    Adakah semua pihak yang terlibat dalam urusan kelulusan pelan-pelan pemajuan dan mendapatkan permit pembinaan ini masih tertakluk kepada norma masa atau KPI yang ditetapkan di dalam OSC 3.0 Plus?

Ya, semua pihak iaitu PBT, Jabatan/ Agensi Teknikal Luaran dan SP/ PSP hendaklah mematuhi KPI tempoh masa yang ditetapkan di dalam OSC 3.0 Plus.
 
11.    Pelaksanaan Mesyuarat Jawatakuasa OSC yang dilaksanakan secara atas talian bolehkah diadakan tanpa kehadiran Ahli Majlis? Bagaimanakah dengan kehadiran ahli-ahli jawatankuasa yang lain melalui kaedah mesyuarat secara atas talian ini?

Boleh, kehadiran atau penglibatan ahli majlis dalam Mesyuarat Jawatankuasa OSC sama ada di dalam kaedah biasa atau secara atas talian adalah tidak wajib sebagai memenuhi kuorum mesyuarat. Ini kerana pembentukan Jawatankuasa OSC di setiap PBT di bawah seksyen 28 Akta Kerajaan Tempatan 1974, Akta 171 yang menetapkan 4 orang ahli majlis sebagai anggota tetap dan 2 orang ahli majlis sebagai pemerhati tidak menepati bilangan minimum penetapan kuorum bagi sesuatu Jawatankuasa PBT sebagaimana keperluan seksyen 24 Akta 171.

Kehadiran wajib bagi mesyuarat Jawatankuasa OSC ialah Pengerusi (Datuk Bandar/ Yang Dipertua), Setiausaha Jawatankuasa OSC  (Ketua Unit OSC), Jabatan Dalaman PBT dan Jabatan/ Agensi Teknikal Luaran. Walau bagai manapun PBT boleh menetapkan hanya keberadaan Pengerusi, Setiausaha Jawatankuasa OSC dan Urusetia Mesyuarat sahaja berada di pejabat PBT. Manakala ahli-ahli jawatankuasa yang lain digalakkan berada di kediaman masing-masing berdasarkan konsep  ‘Work Frome Home’.


12.    Adakah Mesyuarat Pra Jawatankuasa OSC secara online bagi tujuan menyelaras ulasan-ulasan teknikal antara jabatan/ agensi teknikal serta mendapatkan maklumbalas daripada pemohon perlu diadakan sebelum pertimbangan bagi kelulusan diangkat ke dalam Jawatankuasa OSC?

Ya, Mesyuarat Pra Jawatankuasa OSC secara online perlu dilaksanakan sebagaimana norma biasa bagi memastikan isu-isu teknikal cadangan pelan pemajuan dapat diselaraskan untuk memastikan mesyuarat Jawatankuasa OSC secara online mudah membuat pertimbangan bagi kelulusan terutama dalam tempoh PKP.


13.    Adakah Mesyuarat Jawatankuasa OSC boleh membuat keputusan tolak disebabkan oleh faktor kelewatan pemohon mematuhi keperluan teknikal yang ditetapkan oleh Jawatankuasa OSC disebabkan oleh sebarang kekangan dan halangan berikutan pelaksanaan PKP?

Tidak, pertimbangan sesuatu pelan pemajuan tidak boleh mengambilkira faktor kelewatan sebagai alasan bagi memberi penolakan. Sekiranya PBT berpuashati bahawa satu tempoh yang munasabah telah diberi dengan sewajarnya berdasarkan norma masa yang ditetapkan dalam prosedur OSC 3.0 plus dan pemohon masih gagal mematuhi mana-mana aspek teknikal yang ditetapkan oleh Jawatankuasa OSC, maka pertimbangan disebabkan oleh kegagalan pemohon mematuhi aspek keperluan teknikal hendaklah diambilkira sebagai faktor penolakan.
 

14.    Adakah pemohon masih perlu menyediakan salinan hardcopy dokumen- dokumen akhir bagi dimeterai oleh Pihak Berkuasa Tempatan selepas Jawatankuasa OSC memberikan kelulusan penuh?

Ya, semua dokumen yang diberikan kelulusan oleh PBT hendaklah dimeterai secara rasmi sebelum diserahkan semula kepada pemohon. Pemohon mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan jumlah salinan hardcopy mengikut ketetapan PBT. PBT hendaklah menetapkan kaedah yang menepati SOP KKM bagi pengendalian transaksi penerimaan dokumen dari pemohon dan serahan dokumen kepada pemohon seperti mekanisme hantaran kurier/ poslaju dan penyediaan ruang khas/ konsep ‘pigeon hole’ di kaunter pejabat PBT. Keperluan ini adalah selaras dengan seksyen 46, 47 dan 48 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 172
dan seksyen 118, 119 dan 120 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta
133.


15.    Adakah Jabatan/ Agensi Teknikal di negeri dan daerah akan beroperasi bagi menjalankan fungsinya terutama yang berkaitan dengan proses dan prosedur yang melibatkan OSC?

Ya, bagi Jabatan/ Agensi Teknikal di bawah bidang kuasa persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan menjalankan operasinya selaras dengan surat arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam: OPERASI PEJABAT KERAJAAN SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN    BERSYARAT    (PKPB),    No.    Rujukan: JPA.SARAAN(S)256/6/31 JLD.6 (6) bertarikh 2 Mei 2020. Walau bagaimanapun pelaksanaannya tertakluk kepada pihak berkuasa masing- masing iaitu Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

TAMAT

MS