MPSJ. SPB. PKP. RK (01)/17/2020
13 APRIL 2020

NOTIS
KERJA-KERJA BASMI KUMAN (DISINFEKSI) TERHADAP SEMUA BANGUNAN PERKHIDMATAN YANG DIBENARKAN BEROPERASI SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN


Pada menjalankan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 75 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Seksyen 18 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Majlis Perbandaran Subang Jaya dengan ini mengarahkan semua penduduk bangunan atau mana-mana premis perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan untuk melaksanakan kerja-kerja pembasmian kuman (disinfeksi) di bangunan atau premis masing-masing berkuatkuasa serta-merta. Perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi adalah seperti yang dinyatakan di bawah Jadual Perkhidmatan Perlu [Peraturan 2], Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di mana perkhidmatan tuan adalah termasuk di dalam Jadual ini.

Pihak tuan hendaklah merujuk kepada Tatacara Pembersihan Dan Disinfeksi di Tempat Awam yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia. Garis panduan itu juga boleh didapati di laman web, Facebook dan Instagram Majlis Perbandaran Subang Jaya.

AMBIL PERHATIAN bahawa mana-mana penduduk bangunan atau premis yang tidak mematuhi perintah ini adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dan didenda tambahan tidak melebihi satu ratus ringgit bagi setiap satu hari selepas sabitan sehingga perintah itu dipatuhi DAN juga melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), yang apabila disabitkan berkenaan dengan kesalahan pertama, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya; berkenaan dengan kesalahan kedua atau kesalahan berikutnya, boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda atau kedua-duanya; berkenaan dengan kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi dua ratus ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.
 

ARAHAN
YANG DIPERTUA
MAJLIS PERBANDARAN SUBANG JAYA

MS